Thursday, November 17, 2011

Nik Aziz takut kepada DAP

 Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat takut kepada DAP apabila gagal menyatakan pendirian sebenar berhubung siapa bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Nik Abdul Aziz seolah-olah masih meraba-raba mencari jawapan dan tidak pasti mengenai pendirian Pas berhubung perkara itu apabila menyatakan ia hanya akan diketahui selepas pilihan raya umum berlangsung.
"Rakyat pasti hendak tahu sekarang. Kenapa Nik Aziz tidak nyatakan sahaja bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang?. Bukankah beliau Presiden Pas?
"Dan kalau Hadi jadi Perdana Menteri, maka bolehlah diwujudkan negara Islam dan laksanakan hukum hudud. Jadi tidak perlu salahkan orang lain mengenai pelaksanaan hudud," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai penafian Nik Abdul Aziz terhadap dakwaan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik bahawa ada usaha pihak tertentu di dalam pakatan pembangkang untuk mempelawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang atau wujud keadaan 50-50 pada pilihan raya umum akan datang.
Ibrahim berkata, penafian Nik Abdul Aziz itu membuktikan bahawa Menteri Besar Kelantan itu takut kepada DAP untuk menyatakan pendirian sebenar Pas itu.
"Ia sekali gus memperlekehkan pucuk pimpinan parti itu sendiri. Amat memalukan. Jika hendak tunggu selepas pilihan raya umum, macam-macam boleh berlaku. Tidak mustahil Lim Kit Siang (Penasihat DAP) jadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri," katanya.
Ibrahim turut mempersoalkan mengapa Nik Abdul Aziz tidak menamakan sahaja Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga untuk menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
Katanya, perkara itu membuktikan bahawa banyak perkara berhubung dasar-dasar antara parti di dalam pakatan pembangkang yang tidak jelas dan tiada kesefahaman sesama sendiri.
"Maka hasilnya akan timbul kekecohan sehingga menjejaskan kestabilan politik negara," katanya.

Wednesday, November 16, 2011

DAP sanggup lakukan apa sahaja untuk tawan Putrajaya

DAP sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadai prinsip parti itu semata-mata mahu menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, tindakan itu dapat dilihat apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh menyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Sedangkan sebelum ini katanya, Karpal sendiri yang telah mendesak supaya Anwar meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang ekoran rancangan pemimpin PKR itu untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008.
“Ini menunjukkan hanya kerana mahu mengambil alih Kerajaan Persekutuan, DAP sanggup menukar pendirian dan menentang prinsipnya sendiri.
“Jika pemimpin seperti Karpal boleh dengan mudah menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, ini membuktikan DAP sanggup membuat banyak pusingan U dan menentang prinsip sendiri semata-mata mahu mendapatkan sokongan rakyat bagi memenangi Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan MCA, Datuk Tee Siew Kiong dalam kenyataannya berkata, pendirian Karpal yang mendakwa hanya Anwar yang layak menjadi Perdana Menteri adalah satu pembohongan bertujuan memperdaya rakyat.
Menurut beliau, DAP seringkali menguar-uarkan janji kononnya Anwar merupakan pilihan pembangkang untuk menjadi Perdana Menteri selain menjadikan Lim Guan Eng sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Bagaimanapun, dakwaan mereka itu tidak pernah disokong atau dipersetujui oleh Pas,” katanya.
Sebaliknya kata beliau, Pas telah menegaskan Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang yang lebih layak memegang jawatan Perdana Menteri.

Monday, November 14, 2011

PKR Makin Parah : Cabang PKR Petaling Jaya Selatan Bubar

“Saya tidak mahu tipu orang kampung lagi… dan saya tidak mahu bersubahat dengan pemimpin yang kononnya mahu membawa perubahan namun ianya sekadar retorik semata-mata.
“Atas dasar itulah dan setelah fikir semasak-masaknya, saya mengambil keputusan keluar daripada PKR dan menyertai UMNO setelah sedar dan tahu apa yang dicanang oleh PKR selama ini hanyalah penipuan semata-mata”, kata bekas Naib Ketua Cabang PKR Petaling Jaya Selatan, Suhaimi Saari.
Beliau bersama 180 orang lagi ahli PKR cabang PJ Selatan serta 10 Ahli Jawatankuasa Cabang berkenaan bertindak keluar parti sekaligus menyebabkan cabang berkenaan terbubar.
Menurut Suhaimi lagi, pada awalnya kepimpinan PKR dengan lantang ingin membawa perubahan dan melemparkan pelbagai tohmahan kepada UMNO kononnya parti teruk dan pelbagai kutukan lain.
“Namun setelah mendapat kuasa mereka rupa-rupanya lebih teruk daripada UMNO dan dan saya nampak apa yang berlaku di dalam PKR ini lebih kepada diktator. Suara orang bawahan tidak diambil peduli.
“Atas kesedaran itulah saya mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Naib Ketua Cabang, seterusnya membubarkan PKR Cabang Petaling Jaya Selatan. Tindakan ini turut melibatkan 10 AJK dan ahli-ahli  dari 17 Ranting di bawah Cabang PKR Petaling Jaya Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Baha­gian Petaling Jaya Selatan, Datuk Raja Hanipuddin Raja Nong Chik.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Donald Lim Siang Chai.
Suhaimi seterusnya percaya kepimpinan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) lebih baik daripada PKR yang kononnya dengan lantang melaung-laungkan membawa perubahan.

DPMMP sokong projek Lynas

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Pahang (DPMMP) amat mengharapkan dan mengalu-alukan pelbagai bentuk pelaburan besar ke Pahang seperti Kilang Lynas Gebeng, Kuantan.
Pelaburan seperti ini bukan saja dapat menyumbang kepada ekonomi negeri malah lebih penting akan membuka peluang perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang secara langsung terlibat dalam pembangunan perniagaan dan keusahawanan di negeri Pahang, berpaksikan kepada kepentingan di atas, maka DPMM negeri Pahang menyokong keputusan kerajaan membenar dan meluluskan lesen pembinaan kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.
DPMM negeri Pahang amat optimis bahawa segala apa yang digembar-gemburkan oleh kumpulan minoriti yang menentang adalah lebih menjurus ke arah gimik politik pihak tertentu.
Melalui pengumpulan maklumat dan data-data yang disampaikan oleh beberapa usahawan tempatan yang terlibat dengan projek pembangunan kilang Lynas daripada awal, mereka amat yakin bahawa operasi kilang Lynas tidak membahayakan kesihatan.
Begitu juga dengan pendedahan yang dibuat dalam sebuah segmen TV3 yang menyatakan bahawa Lynas Malaysia bukanlah sebuah loji nuklear dan tidak membahayakan persekitaran yang secara jelasnya menyangkal pendapat kumpulan minoriti yang menentang operasi kilang tersebut.
Maka berdasarkan dua fakta ini, DPMM negeri Pahang merasakan amat tepat sekiranya kumpulan pakar yang berkaitan diberi kepercayaan untuk menentukan sama ada operasi kilang Lynas akan membahayakan kesihatan dan persekitaran atau sebaliknya.
DPMM negeri Pahang juga amat yakin dengan integriti dan profesionalisme kumpulan ini dalam melakukan kerja dan kajian.
Secara keseluruhannya, DPMM negeri Pahang berpendapat bahawa perlunya pelaburan asing masuk ke negeri ini sebagai bukti kepercayaan para pelabur asing terhadap kestabilan politik dan ekonomi di Pahang khususnya dan Malaysia amnya.
Sekiranya berlaku, maka banyak faedah dan pembangunan yang bakal dinikmati oleh rakyat Pahang dalam jangkamasa panjang.

TENGKU DATO' ZULKIFLY TENGKU AHMAD
YDP DPMMP

Friday, November 11, 2011

Kalaulah Ambiga rakyat Singapura?

KALAULAH bekas Presiden Peguam Malaysia, S. Ambiga ini seorang warga atau pemastautin di Singapura, beranikah dia mencetuskan pelbagai kontroversi seperti sekarang dan sebelum ini?
Tentu ke dalam penjaralah tempatnya. Apatah lagi Singapura masih mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), memang mudah Ambiga ini disumbat ke dalam sel tahanan.
Kerajaan Malaysia sekarang memang terkenal dengan sikap penyabar, bertolak ansur dan kelembutannya.
Kini sudah sampailah masanya pihak berkuasa di Malaysia mengenakan tindakan keras ke atas Ambiga dan mana-mana pihak seperti tokoh-tokoh pembangkang yang memang sentiasa mengamalkan politik dan budaya "cari pasal"!

Thursday, November 10, 2011

Pembangkang dicabar mengurangkan kakitangan awam dijadikan agenda Buku Jingga

 

Pakatan pembangkang dicabar menjadikan polisi mengurangkan jumlah kakitangan awam sebagai salah satu agenda Buku Jingga, manifesto yang akan dilaksanakan jika pakatan itu menerajui Putrajaya.
Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Kong Youn berkata, langkah itu penting untuk memberi gambaran lebih jelas kepada rakyat mengenai dasar yang menjadi perjuangan pakatan pembangkang sekiranya berkuasa kelak.
Menurut beliau, sejak cadangan mengurangkan penjawat awam dibangkitkan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua baru-baru ini, wujud percanggahan dalam pakatan pembangkang sehingga menimbulkan kekeliruan.
''Selepas beberapa hari Tony mengeluarkan kenyataan dan kemudiannya dikecam oleh penjawat awam serta kesatuan pekerja, beliau tiba-tiba mengatakan ia pandangan peribadi semata-mata.
''Apa yang mengelirukan ialah pada hari yang sama, akhbar turut menyiarkan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham mengatakan memang niat pembangkang untuk mengurangkan bilangan kakitangan awam jika mereka berjaya menawan Putrajaya," katanya.
Ko Youn berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bernilai RM11,000 kepada empat badan bukan kerajaan (NGO) sekitar Perak di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tony yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini bahawa kerajaan DAP akan mengurangkan penjawat awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.
Ko Youn yang juga Penasihat Khas kepada Menteri Besar Perak menegaskan, pakatan pembangkang seharusnya menyatakan pendirian dan dasar mereka dengan sebulat suara berhubung isu terbabit.
''Kenapa dasar mengurangkan bilangan penjawat awam itu tidak dimasukkan dalam Buku Jingga. Tindakan terbaru ini bagi saya hanyalah permainan politik untuk memancing undi masyarakat Cina.
''Dalam politik, sebarang dasar yang ingin diperkenalkan kepada rakyat perlulah bergerak seiring dan konsisten serta difahami oleh rakyat, bukan hanya bercakap seronok sendiri," tegasnya.

Ibadah korban - Puak Kafir Sudah Palu Gendang Anti Islam

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Sungai Pinang sangat kesal dengan kenyataan bersifat provokasi, biadap, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab oleh Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang menggesa supaya amalan menyembelih lembu-lembu qurban tidak diteruskan di perkarangan sekolah dan tempat-tempat awam atas alasan tempat awam dan sekolah tiada kaitan dengan masyarakat Islam dan kegiatan tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.


Timbalan Yang Di Pertuanya, Azdy Mohd Arshad berkata, bagi GPMS Sungai Pinang, gesaan yang dibuat oleh MCCBCHST dan alasan yang dikemukakan adalah sangat tidak munasabah dan secara jelas cuba membangkit kemarahan serta mencetuskan perbalahan antara ummat Islam dengan penganut-penganut agama lain di negara ini.


“Sejak turun-temurun lagi, apabila tiba Hari Raya Aidiladha, ummat Islam di negara ini akan melaksanakan ibadah qurban di kasawan masjid, surau, dewan masyarakat, padang awam atau kawasan-kawasan yang majoritinya didiami oleh orang-orang Islam. Kadangkala ada juga yang melakukan aktiviti penyembelihan di kawasan padang sekolah jika dianjurkan oleh pihak sekolah atau oleh kerana tiada tempat yang sesuai di sekitar kawasan perumahan atau masjid tersebut.


Namun berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh GPMS Sg. Pinang, ternyata kegiatan penyembelihan haiwan qurban yang dijalankan di sekolah-sekolah adalah sangat sedikit. Jika terdapat aktiviti penyembelihan haiwan qurban yang dijalankan di sekolah-sekolah, ianya membabitkan guru-guru, kakitangan, pelajar dan ibupaba yang beragama Islam dan tiada kaitan dengan penganut-penganut agama lain. GPMS Sg. Pinang berpendirian bahawa dakwaan MCCBCHST yang menuduh ummat Islam tidak sensitif terhadap pelajar-pelajar agama lain tidak timbul sama sekali,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media petang tadi.


Tambahnya, dakwaan MCCBCHST ini adalah sangat tidak bertanggung jawab, bertentangan dengan amalan hidup bertolenransi, berfikiran dangkal dan berniat jahat.


GPMS Sg. Pinang ingin menegaskan bahawa ummat Islam di Malaysia sentiasa sensitif dan bertoleransi dengan penganut-penganut agama lain. MCCBCHST yang sebenarnya perlu sensitif terhadap agama Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Tindakan mencampuri hal ehwal agama Islam adalah sangat tidak wajar dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta menghina Majlis Raja-raja Melayu.


GPMS Sg. Pinang sangat khuatir sekiranya MCCBCHST terus menerus mengeluarkan kenyataan berniat jahat seperti ini, ia bakal mengundang permasalahan besar antara penganut berbilang agama di negara kita dan mampu mengancam keselamatan dan keharmonian negara.


“Justeru itu, GPMS Sg. Pinang menuntut agar MCCBCHST meminta maaf secara terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam dan seluruh ummat Islam di Malaysia atas kenyataan provokatif, biadap, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh MCCBCHST. Selaku majlis perundingan antara agama MCCBCHST sepatutnya lebih peka dan memainkan peranan memdidik dan memahamkan masyarakat majmuk di nagara ini agar saling menghormati antara satu agama dengan agama yang lain dan bukannya mencetuskan api perkauman atau ketegangan antara agama