Monday, November 14, 2011

DPMMP sokong projek Lynas

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Pahang (DPMMP) amat mengharapkan dan mengalu-alukan pelbagai bentuk pelaburan besar ke Pahang seperti Kilang Lynas Gebeng, Kuantan.
Pelaburan seperti ini bukan saja dapat menyumbang kepada ekonomi negeri malah lebih penting akan membuka peluang perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang secara langsung terlibat dalam pembangunan perniagaan dan keusahawanan di negeri Pahang, berpaksikan kepada kepentingan di atas, maka DPMM negeri Pahang menyokong keputusan kerajaan membenar dan meluluskan lesen pembinaan kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.
DPMM negeri Pahang amat optimis bahawa segala apa yang digembar-gemburkan oleh kumpulan minoriti yang menentang adalah lebih menjurus ke arah gimik politik pihak tertentu.
Melalui pengumpulan maklumat dan data-data yang disampaikan oleh beberapa usahawan tempatan yang terlibat dengan projek pembangunan kilang Lynas daripada awal, mereka amat yakin bahawa operasi kilang Lynas tidak membahayakan kesihatan.
Begitu juga dengan pendedahan yang dibuat dalam sebuah segmen TV3 yang menyatakan bahawa Lynas Malaysia bukanlah sebuah loji nuklear dan tidak membahayakan persekitaran yang secara jelasnya menyangkal pendapat kumpulan minoriti yang menentang operasi kilang tersebut.
Maka berdasarkan dua fakta ini, DPMM negeri Pahang merasakan amat tepat sekiranya kumpulan pakar yang berkaitan diberi kepercayaan untuk menentukan sama ada operasi kilang Lynas akan membahayakan kesihatan dan persekitaran atau sebaliknya.
DPMM negeri Pahang juga amat yakin dengan integriti dan profesionalisme kumpulan ini dalam melakukan kerja dan kajian.
Secara keseluruhannya, DPMM negeri Pahang berpendapat bahawa perlunya pelaburan asing masuk ke negeri ini sebagai bukti kepercayaan para pelabur asing terhadap kestabilan politik dan ekonomi di Pahang khususnya dan Malaysia amnya.
Sekiranya berlaku, maka banyak faedah dan pembangunan yang bakal dinikmati oleh rakyat Pahang dalam jangkamasa panjang.

TENGKU DATO' ZULKIFLY TENGKU AHMAD
YDP DPMMP

No comments:

Post a Comment