Thursday, December 1, 2011

Sultan Selangor tegur Aziz

''Beta berharap, Aziz jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan dan meresahkan rakyat terhadap ketelusan dan integriti MAIS dan LZS sebelum beliau mendapatkan fakta-fakta yang tepat dan betul," titah baginda dalam Majlis Perasmian Wisma Audit Negeri Selangor di sini, hari ini.

SHAH ALAM 24 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur ahli akademik, Prof. Dr. Aziz Bari yang mendakwa kononnya akaun Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bebas daripada diaudit.
Baginda bertitah, kenyataan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu adalah tidak tepat kerana akaun kedua-dua agensi terbabit sentiasa diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara dan amalan itu akan berterusan sehingga tahun-tahun yang mendatang.
''Kenyataan beliau (Aziz) ini adalah tidak tepat kerana beta disembah maklum bahawa akaun MAIS dan LZS telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan mendapat Sijil Bersih daripada Ketua Audit Negara pada setiap tahun serta akan terus diaudit pada tahun-tahun yang akan datang.
''Beta berharap, Aziz jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan dan meresahkan rakyat terhadap ketelusan dan integriti MAIS dan LZS sebelum beliau mendapatkan fakta-fakta yang tepat dan betul," titah baginda dalam Majlis Perasmian Wisma Audit Negeri Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Sultan Sharafuddin menitahkan agar kakitangan agensi kerajaan di negeri ini tidak menganggap Jabatan Audit Negara sebagai sebuah agensi yang membebankan.
''Ia sepatutnya dipatuhi dan haruslah dicontohi serta dijadikan penanda aras atau rujukan bagi mencapai sesuatu tahap yang boleh membanggakan.
''Jabatan Audit Negara bukan sengaja untuk mencari kesalahan atau keburukan sesebuah jabatan atau agensi, tetapi hanya memperbetulkan atau menambah baik segala aspek yang perlu diperbaiki," tegas baginda.
Selain itu, baginda turut berharap pentadbiran anak syarikat milik kerajaan negeri dapat diurus dengan baik bagi memastikan prestasi kewangannya sentiasa cemerlang, sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi negeri.
''Beta berharap mereka (anak syarikat milik kerajaan negeri) mengamalkan urus tadbir korporat yang berwibawa dan telus bagi memastikan prestasi kewangan sentiasa cemerlang bagi menjana pertumbuhan ekonomi Selangor selain menambah hasil kerajaan negeri melalui pembayaran dividen.
''Beta juga berharap anak-anak syarikat kerajaan negeri dapat berusaha lebih gigih lagi supaya pencapaian mereka dijadikan tanda aras sebagai amalan terbaik yang wajar dicontohi negeri lain," titah baginda.

No comments:

Post a Comment