Wednesday, December 14, 2011

Hasan Ali hendak dipinggirkan!

Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungip dalam kenyataannya menyatakan Datuk Dr. Hasan Ali tidak akan dicalonkan lagi kerana tidak cukup pencalonan. Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan kenyataan itu. Maksud kenyataan Saari Sungip itu adalah jelas bahawa dalam isu Hasan yang sedang berbangkit terutamanya di Selangor, ada kecenderungan memperkecilkan kewibawaan Hasan. Peliknya jawapan Hadi Awang sebaliknya.
Dalam Pas, siapakah yang mempunyai autoriti memutuskan seseorang itu menjadi calon atau sebaliknya. Apakah ini memberi petanda bahawa gendang politik sedang dipalu dan Pas Selangor bakal menghadapi pergolakan mengenai kedudukan Hasan dan juga ia memberi kesan kepada Pas Pusat. Ini kerana Hasan adalah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan pernah menjadi Naib Presiden Pas Pusat untuk beberapa penggal dan menjadi Pesuruhjaya Pas Selangor sebelum disingkirkan daripada kedudukan itu.
Timbul soalan mengapa Hasan ingin dipinggirkan malah tidak mustahil disingkirkan daripada Pas. Apakah Pas tidak mengalu-alukan pandangan seorang profesional berpengalaman? Apakah ramai di kalangan Pas dan pakatan pembangkang tidak rasa senang dengan tindakan-tindakan oleh Hasan yang mengetuai portfolio agama terhadap beberapa isu yang menyentuh kepentingan Islam dan amalan-amalan mungkar di Selangor?
Masalah arak, lubang-lubang maksiat di Selangor sangat banyak. Ia berkembang tanpa kawalan. Isu permurtadan seperti yang terjadi di Damansara Utama Methodist Church (DUMC) pada 3 Ogos lalu adalah benar. Isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang disertai oleh Hasan menjadi duri dalam daging bagi Pas. Apakah Pas sebagai anggota pakatan pembangkang tidak rasa sensitif dengan perkara-perkara ini.
Apakah makna perjuangan Pas terhadap isu-isu Islam? Apakah kerana menjaga hati DAP dan Parti Keadilan Rakyat maka Hasan dijadikan mangsa? Wakil-wakil DAP secara jelas menyatakan bahawa tindakan yang dibuat oleh Hasan itu sebagai "social policing".
Rakyat Selangor harus dberikan kebebasan untuk melakukan sesuatu tanpa dijadikan agama sebagai sandaran ukuran. Hak asasi mereka mesti dijaga.
Orang ramai mengharapkan Pas sebagai sebuah "parti Islam" melakukan sesuatu untuk mencegah kemungkaran di Selangor. Apabila Hasan ingin menubuhkan Unit Penyelarasan Akidah, Anwar Ibrahim tidak setuju dengannya. Apabila Himpun berkumpul mengenai isu pemurtadan Pas tidak bersama.
Bayangkan sekiranya pakatan pembangkang menguasai Malaysia (minta dijauhkan Allah) apakah peranan Pas yang sebenar. Mampu tidak Pas membawa DAP memahami maksud Islam yang mengajak manusia kepada dasar-dasar yang baik. Mampu atau tidak Pas mengajak Anwar membangunkan sebuah Negara Islam contoh kerana Anwar adalah bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Wednesday, December 7, 2011

Fitnah Kapal Selam : Guan Eng dibawa menyelam bersama KD Tun Razak

"(Selain Lim) Pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain, hanya Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai) yang memberi respons tak boleh datang. Yang lain cakap je banyak tetapi tak berani menyelam (dengan kapal selam),” - Zahid Hamidi.

LANGKAWI 7 Dis. – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menaiki kapal selam KD Tun Razak Jumaat ini bagi membuktikan bahawa dakwaan pembangkang yang kapal selam negara tidak boleh menyelam adalah tidak betul.
Ahmad Zahid berkata, beliau dan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP akan menaiki kapal selam itu di pusat pameran maritim sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 di Awana Porto Malai pada pukul 3 petang.
Beliau berkata, ini merupakan pendekatan Kementerian Pertahanan untuk memperlihatkan aset itu yang dikatakan tidak boleh menyelam.
"Guan Eng ada telefon saya semalam untuk datang ke sini. Walaupun kapal selam itu untuk LIMA kali ini hanya membuat pertunjukan statik tetapi saya akan minta kapal selam itu menyelam untuk membawa Guan Eng,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau turut menghantar surat jemputan kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara termasuk daripada parti pembangkang untuk menaiki dan menyelam bersama kapal selam negara.

Thursday, December 1, 2011

Sultan Selangor tegur Aziz

''Beta berharap, Aziz jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan dan meresahkan rakyat terhadap ketelusan dan integriti MAIS dan LZS sebelum beliau mendapatkan fakta-fakta yang tepat dan betul," titah baginda dalam Majlis Perasmian Wisma Audit Negeri Selangor di sini, hari ini.

SHAH ALAM 24 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur ahli akademik, Prof. Dr. Aziz Bari yang mendakwa kononnya akaun Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bebas daripada diaudit.
Baginda bertitah, kenyataan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu adalah tidak tepat kerana akaun kedua-dua agensi terbabit sentiasa diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara dan amalan itu akan berterusan sehingga tahun-tahun yang mendatang.
''Kenyataan beliau (Aziz) ini adalah tidak tepat kerana beta disembah maklum bahawa akaun MAIS dan LZS telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan mendapat Sijil Bersih daripada Ketua Audit Negara pada setiap tahun serta akan terus diaudit pada tahun-tahun yang akan datang.
''Beta berharap, Aziz jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan dan meresahkan rakyat terhadap ketelusan dan integriti MAIS dan LZS sebelum beliau mendapatkan fakta-fakta yang tepat dan betul," titah baginda dalam Majlis Perasmian Wisma Audit Negeri Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Sultan Sharafuddin menitahkan agar kakitangan agensi kerajaan di negeri ini tidak menganggap Jabatan Audit Negara sebagai sebuah agensi yang membebankan.
''Ia sepatutnya dipatuhi dan haruslah dicontohi serta dijadikan penanda aras atau rujukan bagi mencapai sesuatu tahap yang boleh membanggakan.
''Jabatan Audit Negara bukan sengaja untuk mencari kesalahan atau keburukan sesebuah jabatan atau agensi, tetapi hanya memperbetulkan atau menambah baik segala aspek yang perlu diperbaiki," tegas baginda.
Selain itu, baginda turut berharap pentadbiran anak syarikat milik kerajaan negeri dapat diurus dengan baik bagi memastikan prestasi kewangannya sentiasa cemerlang, sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi negeri.
''Beta berharap mereka (anak syarikat milik kerajaan negeri) mengamalkan urus tadbir korporat yang berwibawa dan telus bagi memastikan prestasi kewangan sentiasa cemerlang bagi menjana pertumbuhan ekonomi Selangor selain menambah hasil kerajaan negeri melalui pembayaran dividen.
''Beta juga berharap anak-anak syarikat kerajaan negeri dapat berusaha lebih gigih lagi supaya pencapaian mereka dijadikan tanda aras sebagai amalan terbaik yang wajar dicontohi negeri lain," titah baginda.

Wednesday, November 30, 2011

Benar berhimpun tanpa senjata

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Dewan Rakyat hari ini meluluskan sebulat suara Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 membabitkan enam pindaan yang bermatlamat membenarkan orang ramai berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
Namun, rang undang-undang yang disambung perbahasannya untuk bacaan kali kedua itu mendapat tentangan ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan sebelum Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggulung perbahasan mengenainya.
Mendakwa kerajaan tergesa-gesa dalam mengusulkan rang undang-undang berkenaan sambil ‘mengagung-agungkan’ beberapa negara luar seperti Myanmar dan Zimbabwe yang dikatakan lebih baik dari segi pengurusan perhimpunan aman, hujah pembangkang terutama ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun ‘dipatahkan’ oleh Mohamed Nazri.
Ujar Mohamed Nazri, apa yang dilakukan kerajaan berhubung rang undang-undang berkenaan tidak melanggar Perlembagaan negara dengan intipati pentingnya adalah untuk memberi nafas baru kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memasukkan elemen-elemen kebebasan berhimpun secara aman iaitu hak berhimpun tanpa senjata.
“Berkaitan dengan notis pula, Ketua Pembangkang dalam perbahasan merujuk kepada memorandum atau satu draf rang undang-undang disediakan oleh Majlis Peguam. Majlis Peguam tak setuju dengan notis. Tapi, apa yang menghairankan, ketika berhimpun pagi tadi depan bangunan Parlimen, Majlis Peguam sudah bagi notis. Kita bagi notis, dia marah pula.
“Kalau tak suka beri notis, mengapa perlu beri notis kepada polis untuk mengadakan perhimpunan tadi? Satu Malaysia tahu. Maknanya, mereka mahu perlindungan polis kalau ada usaha provokasi kumpulan lain.
“Oleh itu, beri notis ini bukan nak sekat tetapi nak jaga mereka. Memang dulu 30 hari dan turun kepada 10 hari. Ini tunjukkan kita dengar pandangan rakyat. jadi, jangan perasanlah pembangkang. Perangai pembangkang, kalau kita tak dengar cakap rakyat, dia kata kita zalim. Kalau kita dengar, mereka kata lain. Merekalah penipu besar. Cakap benda yang tak benar kepada rakyat,” katanya.
Jelasnya, undang-undang sedia ada di negara luar memperuntukkan tempoh masa yang berbeza mengenai pemakluman notis kepada pihak berkuasa.
“Dalam perkara ini, fasal 9(1) hendaklah dibaca dengan fasal 14 iaitu polis perlu beri respons dalam masa lima hari. Jika polis gagal beri respons, hendaklah diteruskan (perhimpunan). Jadi, buatlah. Apa masalahnya?
“Dalam masa lima hari, ada perkara-perkara tertentu perlu dilakukan seperti perjumpaan dengan polis hendaklah dilakukan. Ni tadi Bagan (Lim Guan Eng, DAP-Bagan) merayu dan merintih kata di Pulau Pinang tiap-tiap minggu ada perhimpunan haram. Inilah yang kita nak bantu. Sebab itu perlu bagi notis. Dia cakap tapi tikam diri sendiri,” tegasnya.

Wednesday, November 23, 2011

Akibat terlalu taksub berpolitik kebajikan rakyat terabai..

                                                                                     Perumahan Taman Seri Mulong Kota Bharu digenangi air, semalam.
 Penduduk di Taman Perumahan Sri Mulong di sini mendakwa, banjir kilat yang melanda kawasan terbabit disebabkan ketiadaan sistem perparitan sempurna sehingga menyebabkan rumah mereka dinaiki air separas lutut.
Mereka mendakwa, banjir kilat itu juga berpunca daripada projek pembangunan di Bandar Baru Tunjung yang sedang giat dijalankan, menyebabkan 113 orang penduduk daripada 20 keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Mulong (1).
Seorang penduduk, Nor Azhan Mohamad, mendakwa, ketiadaan sistem perparitan dan saliran yang sempurna menyebabkan air hujan bertakung dan membanjiri rumah penduduk.
"Sebelum ini, tidak pernah berlaku banjir kilat, tetapi sejak tahun lepas masalah ini baru berlaku disebabkan ketiadaan sistem perparitan dan saliran sempurna," dakwanya ketika ditemui di pusat penempatan banjir itu hari ini.
Seorang lagi penduduk, Zainal Abidin Yusoff, 30, mendakwa, dia telah menetap hampir lima tahun di kawasan perumahan itu dan ini kali kedua kawasan berkenaan dilanda banjir kilat.
"Sebelum ini setiap kali hujan lebat, kawasan perumahan di sini memang dinaiki air tetapi penduduk tidak perlu berpindah kerana paras air tidak berbahaya.
"Namun segalanya berubah sejak tahun lalu, apabila penduduk terpaksa berpindah setiap kali hujan lebat gara-gara tiada sistem perparitan sempurna selain pelaksanaan projek pembinaan berdekatan yang menyekat aliran air," dakwanya.

Tuesday, November 22, 2011

Taliban, Pas, gay dan Sexuality Merdeka 2011

JANGAN tiru Taliban. Itu nasihat bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. Beliau mengulas tindak tanduk Dewan Pemuda Pas Pahang, yang kerana terlalu ekstrem, membantah konsert Greaters Hits Tour penyanyi Elton John di Genting Highlands, 22 November ini.
Asri sebaliknya mencadangkan Pemuda Pas atau orang-orang Pas supaya mencontohi pendirian Islam yang matang, sederhana dan praktikal - bukan tiru Taliban!
Benarkah Pas selama ini meniru cara Taliban? Itu kena tanya ustaz Asrilah. Beliau yang lebih mengetahui. Itu pasal Pas asyik berfikir nak menghukum orang sahaja.
Tapi tak apalah, itukan parti yang berada dalam pakatan DAP dan PKR. Walaupun tidur sebantal dan mimpi lain-lain, itu tak menjadi hal, asalkan mereka dapat merampas negara Malaysia yang aman dan makmur ini.
Tapi sayang seribu kali sayang, protes Pemuda Pas ini berpilih-pilih. Semasa konsert World Stage di i-City Shah Alam tempoh hari semua orang menikus. Pas, melalui Pemudanya yang gagah itu senyap menyepi. Tiada bantahan pun.
Mengapa, adakah kerana i-City berada dalam Selangor dan negeri Selangor dalam kekuasaan DAP? Mengapa, apabila isu cubaan murtad di sebuah gereja di Damansara juga anda semua menyepi sehingga pula sanggup menghalalkan cara?
Adakah kerana Pemuda Pas Selangor lebih matang, sederhana dan praktikal daripada Pemuda Pas Pahang? Atau mereka menikus kerana takut dengan DAP?
Itulah yang kita bengang. Cara protes pun sudah ada unsur politik. Lepas itu mereka ini akan masuk-keluar kampung menjaja mengatakan negeri Pahang, negeri PM itu, penuh dengan maksiat.
Saya juga hendak tanya bila masa pula mereka beria-ia menentang amalan gay. Jenuh orang berkata mengenai kegiatan gay sebelum ini, mereka juga menyepi dan menikus. Malah soal liwat dipertahankan habis-habisan dalam ceramah berhubung bab empat saksi.
Pas nampaknya bermain politik atas sentimen dan perasaan semata-mata. Jika sentimen yang dimainkan itu berjaya menaikkan semangat kebencian orang ramai terhadap pemerintah atau pihak-pihak tertentu, maka mereka akan puas dan menyifatkannya sebagai satu kemenangan.
KPI mereka sebenarnya diukur melalui cara itu. Bukan cara yang membina dan konstruktif bagi menjana pemikiran muaasir umat Islam.
Berbalik kepada penyanyi Elton John, beliau mempunyai peminat jutaan manusia seluruh dunia. Lagipun inikan negara demokrasi siapa yang mahu menonton silakan, jika merasakan itu maksiat, tinggalkan.
Saya sarankan jika Pas terlalu antikan masyarakat gay, maka lancarkan satu kempen khusus untuk membawa balik golongan ini ke pangkal jalan.
Di Malaysia sendiri pun ramai golongan gay atau homoseksual atau lelaki yang sukakan lelaki ini. Kes liwat di mahkamah pun sudah semakin banyak. Ada satu kes di Baling tidak lama dulu ada ustaz meliwat anak murid di sebuah sekolah maahad.
Nampaknya naluri orang Melayu Islam terhadap seks songsang atau masuk dari belakang ini pun sudah semakin banyak.
Saya cabar Pas pergilah tunjuk perasaan habis-habisan di hadapan pelancaran Sexuality Merdeka 2011 pada 9 November ini oleh tokoh pujaan mereka Datuk Ambiga.
Program ini akan mempromosikan budaya Lesbian, Bisexual, Gay, Transgender dan Intersex. Ia mendapat sokongan Amnesty International dan Bar Council. Lihat www.seksualitimerdeka.org/.
Untuk pengetahuan puak-puak Pas, rakan-rakan anda ini sedang mempromosikan budaya liberalisme dan pluralisme di negara ini.
Jangan bersikap hipokrit, pergi tentang puak ini habis-habisan.
Lakukanlah kerja dakwah ke atas golongan gay dan homoseksual ini secara meluas untuk memujuk mereka kembali ke pangkal jalan dan bukan secara menghukum.
Melayu Islam di rantau ini bersopan santun orangnya. Kita bukan macam Taliban. Kita juga bukan macam sesetengah orang Arab, yang membiarkan mayat sesama Islam reput macam bangkai anjing. Itukah Islam yang kita mahukan?

Monday, November 21, 2011

Kesian rakyat Kelantan ,, minum air karat

Kerajaan Pas Kelantan digesa mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah kualiti air yang digunakan oleh rakyat di negeri ini kerana ia mengancam kesihatan dan nyawa pengguna.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kualiti air amat penting kerana ia boleh mencetuskan penyakit berjangkit yang membahayakan manusia.
Beliau berkata, Kerajaan Pas Kelantan juga perlu memastikan kualiti air yang dibekalkan kepada rakyat di negeri ini sama dengan negeri-negeri lain kerana bukti saintifik menunjukkan ia jauh ketinggalan.
"Di Kelantan ada dua isu air, pertama kualiti air, kedua bekalan air ada atau tidak. Kualiti air penting kerana ia memberi kesan kepada kesihatan dan mencetuskan pelbagai penyakit.
"Kalau kita lihat statistik Jabatan Kesihatan negeri, penyakit-penyakit berpunca daripada air di Kelantan cukup tinggi, sudah pasti ia menyebabkan penyakit tertentu akan merebak. Kita minta pihak berkenaan supaya mengambil tindakan segera, kalau nasi sudah jadi bubur tiada guna lagi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Kakitangan Sokongan Jabatan Pelajaran Negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bunga di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan komputer kepada anggota tentera di Kem Rejimen Sempadan, Batu 11 di sini.
Laporan Khas Mingguan Malaysia hari ini melaporkan data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 mengenai bekalan air bersih di seluruh negara mendapati Kelantan menduduki tempat paling bawah sehingga dilabelkan sebagai negeri yang memiliki air kurang selamat dan berisiko.
Kementerian Kesihatan menerusi uji kaji berasingan bagi tempoh 2008-2010 juga mendapati air di negeri itu mengandungi arsenik, merkuri, mangan dan plumbum, iaitu logam berat yang kesemuanya boleh memudaratkan kesihatan termasuk mengakibatkan kanser.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, perkhidmatan air adalah di bawah kuasa kerajaan negeri dan ia sewajarnya diselesaikan sejak sekian lama.
"Kalau libatkan pelajar sekolah lagi susah, mereka terdedah kepada penyakit dan kalau berlaku di sekolah ia boleh merebak dengan senang.
"Air ialah tanggungjawab kerajaan negeri, harap mereka ambil tindakan dengan segera kerana telah ada bukti saintifik mengenainya," katanya.