Wednesday, December 14, 2011

Hasan Ali hendak dipinggirkan!

Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungip dalam kenyataannya menyatakan Datuk Dr. Hasan Ali tidak akan dicalonkan lagi kerana tidak cukup pencalonan. Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan kenyataan itu. Maksud kenyataan Saari Sungip itu adalah jelas bahawa dalam isu Hasan yang sedang berbangkit terutamanya di Selangor, ada kecenderungan memperkecilkan kewibawaan Hasan. Peliknya jawapan Hadi Awang sebaliknya.
Dalam Pas, siapakah yang mempunyai autoriti memutuskan seseorang itu menjadi calon atau sebaliknya. Apakah ini memberi petanda bahawa gendang politik sedang dipalu dan Pas Selangor bakal menghadapi pergolakan mengenai kedudukan Hasan dan juga ia memberi kesan kepada Pas Pusat. Ini kerana Hasan adalah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan pernah menjadi Naib Presiden Pas Pusat untuk beberapa penggal dan menjadi Pesuruhjaya Pas Selangor sebelum disingkirkan daripada kedudukan itu.
Timbul soalan mengapa Hasan ingin dipinggirkan malah tidak mustahil disingkirkan daripada Pas. Apakah Pas tidak mengalu-alukan pandangan seorang profesional berpengalaman? Apakah ramai di kalangan Pas dan pakatan pembangkang tidak rasa senang dengan tindakan-tindakan oleh Hasan yang mengetuai portfolio agama terhadap beberapa isu yang menyentuh kepentingan Islam dan amalan-amalan mungkar di Selangor?
Masalah arak, lubang-lubang maksiat di Selangor sangat banyak. Ia berkembang tanpa kawalan. Isu permurtadan seperti yang terjadi di Damansara Utama Methodist Church (DUMC) pada 3 Ogos lalu adalah benar. Isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang disertai oleh Hasan menjadi duri dalam daging bagi Pas. Apakah Pas sebagai anggota pakatan pembangkang tidak rasa sensitif dengan perkara-perkara ini.
Apakah makna perjuangan Pas terhadap isu-isu Islam? Apakah kerana menjaga hati DAP dan Parti Keadilan Rakyat maka Hasan dijadikan mangsa? Wakil-wakil DAP secara jelas menyatakan bahawa tindakan yang dibuat oleh Hasan itu sebagai "social policing".
Rakyat Selangor harus dberikan kebebasan untuk melakukan sesuatu tanpa dijadikan agama sebagai sandaran ukuran. Hak asasi mereka mesti dijaga.
Orang ramai mengharapkan Pas sebagai sebuah "parti Islam" melakukan sesuatu untuk mencegah kemungkaran di Selangor. Apabila Hasan ingin menubuhkan Unit Penyelarasan Akidah, Anwar Ibrahim tidak setuju dengannya. Apabila Himpun berkumpul mengenai isu pemurtadan Pas tidak bersama.
Bayangkan sekiranya pakatan pembangkang menguasai Malaysia (minta dijauhkan Allah) apakah peranan Pas yang sebenar. Mampu tidak Pas membawa DAP memahami maksud Islam yang mengajak manusia kepada dasar-dasar yang baik. Mampu atau tidak Pas mengajak Anwar membangunkan sebuah Negara Islam contoh kerana Anwar adalah bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Wednesday, December 7, 2011

Fitnah Kapal Selam : Guan Eng dibawa menyelam bersama KD Tun Razak

"(Selain Lim) Pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain, hanya Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai) yang memberi respons tak boleh datang. Yang lain cakap je banyak tetapi tak berani menyelam (dengan kapal selam),” - Zahid Hamidi.

LANGKAWI 7 Dis. – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menaiki kapal selam KD Tun Razak Jumaat ini bagi membuktikan bahawa dakwaan pembangkang yang kapal selam negara tidak boleh menyelam adalah tidak betul.
Ahmad Zahid berkata, beliau dan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP akan menaiki kapal selam itu di pusat pameran maritim sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 di Awana Porto Malai pada pukul 3 petang.
Beliau berkata, ini merupakan pendekatan Kementerian Pertahanan untuk memperlihatkan aset itu yang dikatakan tidak boleh menyelam.
"Guan Eng ada telefon saya semalam untuk datang ke sini. Walaupun kapal selam itu untuk LIMA kali ini hanya membuat pertunjukan statik tetapi saya akan minta kapal selam itu menyelam untuk membawa Guan Eng,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau turut menghantar surat jemputan kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara termasuk daripada parti pembangkang untuk menaiki dan menyelam bersama kapal selam negara.

Thursday, December 1, 2011

Sultan Selangor tegur Aziz

''Beta berharap, Aziz jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan dan meresahkan rakyat terhadap ketelusan dan integriti MAIS dan LZS sebelum beliau mendapatkan fakta-fakta yang tepat dan betul," titah baginda dalam Majlis Perasmian Wisma Audit Negeri Selangor di sini, hari ini.

SHAH ALAM 24 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur ahli akademik, Prof. Dr. Aziz Bari yang mendakwa kononnya akaun Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bebas daripada diaudit.
Baginda bertitah, kenyataan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu adalah tidak tepat kerana akaun kedua-dua agensi terbabit sentiasa diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara dan amalan itu akan berterusan sehingga tahun-tahun yang mendatang.
''Kenyataan beliau (Aziz) ini adalah tidak tepat kerana beta disembah maklum bahawa akaun MAIS dan LZS telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan mendapat Sijil Bersih daripada Ketua Audit Negara pada setiap tahun serta akan terus diaudit pada tahun-tahun yang akan datang.
''Beta berharap, Aziz jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan dan meresahkan rakyat terhadap ketelusan dan integriti MAIS dan LZS sebelum beliau mendapatkan fakta-fakta yang tepat dan betul," titah baginda dalam Majlis Perasmian Wisma Audit Negeri Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Sultan Sharafuddin menitahkan agar kakitangan agensi kerajaan di negeri ini tidak menganggap Jabatan Audit Negara sebagai sebuah agensi yang membebankan.
''Ia sepatutnya dipatuhi dan haruslah dicontohi serta dijadikan penanda aras atau rujukan bagi mencapai sesuatu tahap yang boleh membanggakan.
''Jabatan Audit Negara bukan sengaja untuk mencari kesalahan atau keburukan sesebuah jabatan atau agensi, tetapi hanya memperbetulkan atau menambah baik segala aspek yang perlu diperbaiki," tegas baginda.
Selain itu, baginda turut berharap pentadbiran anak syarikat milik kerajaan negeri dapat diurus dengan baik bagi memastikan prestasi kewangannya sentiasa cemerlang, sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi negeri.
''Beta berharap mereka (anak syarikat milik kerajaan negeri) mengamalkan urus tadbir korporat yang berwibawa dan telus bagi memastikan prestasi kewangan sentiasa cemerlang bagi menjana pertumbuhan ekonomi Selangor selain menambah hasil kerajaan negeri melalui pembayaran dividen.
''Beta juga berharap anak-anak syarikat kerajaan negeri dapat berusaha lebih gigih lagi supaya pencapaian mereka dijadikan tanda aras sebagai amalan terbaik yang wajar dicontohi negeri lain," titah baginda.