Wednesday, December 14, 2011

Hasan Ali hendak dipinggirkan!

Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungip dalam kenyataannya menyatakan Datuk Dr. Hasan Ali tidak akan dicalonkan lagi kerana tidak cukup pencalonan. Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan kenyataan itu. Maksud kenyataan Saari Sungip itu adalah jelas bahawa dalam isu Hasan yang sedang berbangkit terutamanya di Selangor, ada kecenderungan memperkecilkan kewibawaan Hasan. Peliknya jawapan Hadi Awang sebaliknya.
Dalam Pas, siapakah yang mempunyai autoriti memutuskan seseorang itu menjadi calon atau sebaliknya. Apakah ini memberi petanda bahawa gendang politik sedang dipalu dan Pas Selangor bakal menghadapi pergolakan mengenai kedudukan Hasan dan juga ia memberi kesan kepada Pas Pusat. Ini kerana Hasan adalah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan pernah menjadi Naib Presiden Pas Pusat untuk beberapa penggal dan menjadi Pesuruhjaya Pas Selangor sebelum disingkirkan daripada kedudukan itu.
Timbul soalan mengapa Hasan ingin dipinggirkan malah tidak mustahil disingkirkan daripada Pas. Apakah Pas tidak mengalu-alukan pandangan seorang profesional berpengalaman? Apakah ramai di kalangan Pas dan pakatan pembangkang tidak rasa senang dengan tindakan-tindakan oleh Hasan yang mengetuai portfolio agama terhadap beberapa isu yang menyentuh kepentingan Islam dan amalan-amalan mungkar di Selangor?
Masalah arak, lubang-lubang maksiat di Selangor sangat banyak. Ia berkembang tanpa kawalan. Isu permurtadan seperti yang terjadi di Damansara Utama Methodist Church (DUMC) pada 3 Ogos lalu adalah benar. Isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang disertai oleh Hasan menjadi duri dalam daging bagi Pas. Apakah Pas sebagai anggota pakatan pembangkang tidak rasa sensitif dengan perkara-perkara ini.
Apakah makna perjuangan Pas terhadap isu-isu Islam? Apakah kerana menjaga hati DAP dan Parti Keadilan Rakyat maka Hasan dijadikan mangsa? Wakil-wakil DAP secara jelas menyatakan bahawa tindakan yang dibuat oleh Hasan itu sebagai "social policing".
Rakyat Selangor harus dberikan kebebasan untuk melakukan sesuatu tanpa dijadikan agama sebagai sandaran ukuran. Hak asasi mereka mesti dijaga.
Orang ramai mengharapkan Pas sebagai sebuah "parti Islam" melakukan sesuatu untuk mencegah kemungkaran di Selangor. Apabila Hasan ingin menubuhkan Unit Penyelarasan Akidah, Anwar Ibrahim tidak setuju dengannya. Apabila Himpun berkumpul mengenai isu pemurtadan Pas tidak bersama.
Bayangkan sekiranya pakatan pembangkang menguasai Malaysia (minta dijauhkan Allah) apakah peranan Pas yang sebenar. Mampu tidak Pas membawa DAP memahami maksud Islam yang mengajak manusia kepada dasar-dasar yang baik. Mampu atau tidak Pas mengajak Anwar membangunkan sebuah Negara Islam contoh kerana Anwar adalah bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

No comments:

Post a Comment