Friday, November 4, 2011

Songsang, bertentangan Islam

Penganjuran Program Seksualiti 2011 yang mempromosikan seks bebas jelas merupakan satu program songsang yang bertentangan dengan Islam selain berlawanan dengan adat resam serta tata susila masyarakat negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, walaupun Malaysia sebuah negara demokrasi dan menerima prinsip- prinsip hak asasi, ia bukan bermakna kebebasan yang diterima pakai di negara ini tidak terbatas hingga ke peringkat membenarkan amalan hubungan sejenis.
Beliau berkata, atas sebab itu kerajaan telah mewujudkan undang- undang yang memperuntukkan perbuatan seks luar tabie seperti meliwat adalah satu kesalahan jenayah kerana jelas ia melanggari norma kehidupan seorang manusia.
''Meskipun kita menerima hak asasi manusia, Malaysia mempunyai Perlembagaan dan undang-undang. Kita juga ada agama. Kita juga ada nilai-nilai budaya. Negara kita mempunyai batas dan asas-asas pertimbangan yang harus diambil kira.
''Lunas-lunas syariah juga telah meletakkan hukuman ke atas perbuatan-perbuatan seperti ini. Saya tidak tahu mengapa mereka membuat promosi sebegitu? Adakah mereka mempunyai muslihat politik?'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Bersama Guru-guru Bahasa Inggeris: SMR HR Group di sini hari ini.
Beliau mengulas penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya Queer Without Fear yang berlangsung semalam hingga 13 November di The Annexe Gallery.

No comments:

Post a Comment