Tuesday, December 21, 2010

MALAYSIA MAJU HASIL MUAFAKAT

GEORGETOWN - Ramuan utama kejayaan yang sedang dikecapi Malaysia adalah hasil muafakat dan kerjasama rakyatnya yang berbilang kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, di sebalik banyak perbezaan yang wujud, rakyatnya masih mampu berkongsi kejayaan secara bersama.

“Kita tidak boleh bertindak bersendirian, semua kaum dan etnik kena bekerjasama untuk mewujudkan negara yang makmur dan harmoni pada abad ke-21 ini.

“Kita perlu bergerak bersama-sama sejajar dengan konsep 1Malaysia. Jangan lakukan perkara yang boleh pecah belah masyarakat kerana akhirnya kita semua yang rugi,” katanya ketika merasmikan Konvensyen 43 Institut Akhbar-Akhbar Bahasa Cina Sedunia, di sini, semalam.

Ini adalah kali kelima konvensyen itu diadakan di Malaysia. Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Presiden Institut Akhbar-Akhbar Bahasa Cina Sedunia, Tan Sri Tiong Hiew King; dan Pengerusi Persatuan Wartawan Cina, Tian Cong Ming.

Najib turut menggariskan tiga peranan komuniti media untuk menghadapi pelbagai cabaran termasuk daripada komunikasi dalam talian yang lebih pantas penyebaran berita, murah untuk pengendalian dan aksesnya yang lebih luas.

Sehubungan itu, media Cina diminta menjadi peneraju untuk memainkan peranan sebagai penganjur kesederhanaan, 'menara pantau' dan pemangkin untuk pembangunan.

Katanya, semua media perlu memainkan peranan sebagai penganjur kesederhanaan untuk mengetengahkan dan menonjol semula agenda keamanan dan pragmatisme.

“Gerakan kesederhanaan boleh meminggirkan ekstremisme. Melalui keazaman bersama, kita boleh membina dunia yang lebih rasional, selamat dan saksama.

“Apabila media menyampaikan mesej mengenai majoriti yang mahukan keamanan dan kesederhanaan di seluruh dunia, dunia baru ini sesungguhnya boleh kita capai termasuk melalui agama dan budaya,” katanya.
Sumber : Sinarharian

No comments:

Post a Comment